Monday, 30 November 2009

Expose Diri

Inilah rupa aku untuk tahun 2009. Makin tembam dan menawan.



Read more...

Tuesday, 1 September 2009

Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi
Tue | Sep 01, 09 | 2:51:23 pm MYT

1. Negara kita telah Merdeka . Merdeka sejak lama dulu . Kita selaku anak - anak muda negara belum lagi dilahirkan detik laungan merdeka bergema . Bebas dari belenggu pemerintahan penjajah .

2. Kita hanya mampu membaca sejarah . Menelusuri kronologi berdarah para pejuang kemerdekaan yang mempertaruhkan jasad dan nyawa demi masa depan negara .

3. Ramai dikalangan kita mengetahui erti kemerdekaan melalui pembacaan namun tidak mungkin kita mampu mencapai tahap menghayati kemerdekaan melalui pengalaman juang yang direntas oleh para pejuang - pejuang negara . Oleh kerana kita ditakdir hidup di zaman selepas merdeka , maka saya melihat kita mesti mencipta sejarah kemerdekaan yang tersendiri .

4. Kemerdekaan negara dari belenggu pemerintahan dan penjarahan penjajah telah berjaya dicapai oleh orang terdahulu dan kita tiada pada waktu itu maka tiada apa yang boleh kita lakukan . Namun berjuang untuk kemerdekaan tidak terhad memerdekakan negara dari belenggu pemerintahan penjajah Inggeris semata - mata . Perlu diingat , hasrat pejuang - pejuang kemerdekaan yang sanggup mengorbankan darah dan nyawa mereka bukan terhenti setakat menghalau Inggeris pulang ke kampung mereka tetapi turut melihat bagaimana negara ini pula dibangunkan oleh generasi muda hari ini .

5. Apalah ertinya merdeka setelah Inggeris pulang bergaya , kini anak bangsa sendiri seperti masih terkial - kial mencari identiti diri . Tamaddun yang dibina hanya bersendikan material dengan asas pembangunan dan kemajuan , tetapi malangnya tamaddun ini kering gersang dari pertumbuhan spiritual dan moral berbanding kepesatan material .

6. Mudahnya saya sebut , apalah ertinya negara memiliki bangunan - bangunan mencakar langit tetapi di celah - celahnya penuh dengan penagih dadah , pelacuran , arak , casino , kelab malam , rasuah , penyalahgunaan kuasa , pengangguran , ah Long , peras ugut , penipuan , pecah amanah , pengkhianatan , dan 1001 mungkar yang boleh meruntuhkan tamaddun yang dibina .

7. Membina tamaddun berasaskan material [ atau tamaddun batu ] adalah mudah , tetapi membina tamaddun manusia [ tamaddun jiwa ] sekaligus bebas dari minda penjajah adalah tamaddun sebenar ummat yang merdeka .

8. Merdeka kepada anak muda hari ini bukan lagi merdeka dari pemerintahan penjajah tetapi merdeka dari minda yang mundur dan sempit kepada sebuah keyakinan terhadap kehidupan yang maha luas di dunia dan sampai ke akhirat . Merdeka dari perhambaan sesama hamba kepada perhambaan kepada Tuhan yang mencipta hamba dan seluruh alam cakrawala ini . Merdeka dari kezaliman dan kesongsangan ideologi ciptaan manusia kepada keadilan Islam dan wahyu yang diturunkan oleh Allah swt .

9. Anak muda yang merdeka ialah mereka yang tidak mengizinkan dirinya hanyut tidak menentu arah dengan pelbagai kelalaian dan keasyikan semata - mata memuaskan keinginan duniawi [ dunia ] tanpa melaksanakan tanggungjawab membangunkan jiwa , minda , masyarakat dan negara selari pula dengan tuntutan ukhrawi [ akhirat ] .

10. Anak muda yang masih tersepit dalam arus budaya asing dan hidup bersiangan tanpa arah tuju hidup yang jelas didorong dan digesa agar segera keluar dari arus yang membinasakan masa depan diri sendiri dan jua masa depan negara . Marilah kita merdekakan diri kita bukan sekadar berbangga dengan kemerdekaan yang dicapai oleh generasi terdahulu .

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat



Read more...

Wednesday, 12 August 2009

Isu Ronnie Liu di Selangor : Pandangan Prof Dr Abdul Aziz Bari

PRINSIP YANG MAKIN MENGELIRUKAN

Umum mempunyai tanggapan yang berbeza terhadap kenyataan Datuk Dr Hassan Ali dalam isu penjualan arak di Selangor Selasa lalu. Begitu juga dengan anggota-anggota DAP dan Pas sendiri yang masing-masing menjadi sebahagian daripada Kerajaan Negeri Selangor. Kekecohan yang melibatkan perbezaan pendapat antara Hassan dengan Ronnie Liu itu kemudiannya mengundang kenyataan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dilaporkan meminta kedua-dua anggota Exco itu menutup mulut dan mengambil tanggungjawab untuk membuat kenyataan berhubung dengan isu berkenaan. Bagaimanapun setakat ini Liu masih berdiam diri. Hanya Hassan yang banyak bercakap.

Seperti yang diketahui kekecohan yang berlaku di Selangor itu bukanlah yang pertama kali. Ia telah berlaku sebelum ini dan melibatkan parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat. Ia juga pernah dan kerap berlaku dalam Barisan Nasional. Contoh yang terbaik dan paling jelas ialah sikap anggota cabinet Tan Sri Bernard Dompok yang tiga tahun lalu menyanggah kenyataan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam soal kedudukan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam.


Soal apakah kenyataan itu benar atau tidak adalah soalan lain dan tidak relevan disini. Apa yang penting dari segi prinsip perlembagaan yang mengikat anggota-anggota pentadbiran kerajaan atau kabinet ialah semua anggota cabinet – atau Majli Mesyuarat Kerajaan (EXCO) kalau di peringkat negeri – tidak boleh mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan satu sama lain dikhalayak ramai.

Prinsip yang dipanggil tanggungjawab bersama (collective responsibility) itu adalah sebahagian daripada prinsip yang utama yang dipanggil tanggungjawab menteri (ministerial responsibility). Selain tanggungjawab bersama satu lagi cabang di bawah doktrin tanggungjawab menteri ini ialah tanggungjawab menteri secara individu (individual responsibility). Ini merangkumi tanggungjawab menteri ke atas portfolio yang meliputi tugasan, kementerian atau jabatan di bawah pengawasan menteri berkenaan. Bagaimanapun ini tidak berkaitan dengan isu di Selangor dan boleh kita bincangkan cabang kedua itu dalam kesempatan yang lain.

Doktrin tanggungjawab menteri disebut secara sepintas lalu oleh Perkara 43(3) dan peruntukan-peruntukan yang sama di dalam perlembagaan-perlembagaan negeri. Sementara ini Suruhanjaya Reid menyebut prinsip-prinsip tersebut dengan agak terperinci dan mencadangkan agar kita merujuk di United Kingdom. Meskipun di sana doktrin tanggungjawab menteri itu hanyalah kenvensyen – Britain tidak ada perlembagaan bertulis – ia dipatuhi dan diamalkan dengan konsisten. Sebab itulah Robin Cook, Setiauasah Luar dalam cabinet Perdana Menteri Tony Blair, meletakkan jawatan kerana tidak setuju dengan Britain menyokong pencerobohan Iraq oleh Presiden Goerge W Bush.

Tidak seperti di Malaysia kejujuran, prinsip dan integriti amat dituntut di kalangan ahli-ahli politik di sana. Di sini menteri tanpa segan silu terus memegang jawatan meskipun pelbagai skandal dan kelemahan didedahkan. Di Britain perbezaan pendapat dengan kerajaan dan rakan sekabinet sudah cukup kuat untuk mereka meletakkkan jawatan dan ini dilakukan tanpa dipaksa. Seolah-olah automatic. Ini amat mengagumkan saya.

Ada juga beberapa insiden di Malaysia yang menunjukkan bahawa doktrin tanggungjawab bersama itu dilaksanakan. Ini termasukkan perletakan jawatan Datuk Asri dan dan rakan-rakan Pasnya dari cabinet Barisan Nasional pada 1977. Sedekat kemudian kita menyaksikan peletakan jawatan Datuk Rais Yatim dari cabinet Mahathir. Terbaru kita menyaksikan tindakan yang sama oleh Datuk Zaid Ibrahim yang tidak bersetuju dengan penggunaan ISA.

Doktrin tanggungjawab menteri ini penting di sisi perlembagaan kerana inilah caranya parlimen khususnya dan rakyat umum memantau dan menghukum kerajaan yang memerintah. Ini kerana di bawah sistem Westminster – yakni demokrasi berparlimen – eksekutif tidak dipilih secara langsung oleh rakyat. Sebaliknya ia dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja dan Yang di-Pertua Negeri. Melalui doktrin tersebut rakyat dapat mengikat semua anggota kerajaan dan meminta mereka bertanggungjawab. Jika anggota-anggota cabinet dibenarkan bercakap mengikut selera masing-masing adalah sukar dan mungkin mustahil untuk mereka dipertanggungjawabkan.

Sekiranya ada anggota cabinet hendak mengambil pendirian yang berbeza atau tidak setuju dengan pendirian atau dasar umum kerajaan maka anggota itu hendaklah meletakkan jawatan. Jika tidak Perdana Menteri – Menteri Besar atau Ketua Menteri – boleh memecat anggota itu dari cabinet.

Ini yang dilakukan ke atas S. Sotianathan yang mempersoalkan dasar kerajaan menghantar pelajar perubatan ke Ukraine. Dari segi prinsip sebenarnya dia tidaklah terikat dengan ketat kerana beliau bukan menteri penuh. Bagaimanapun sikap ini tidak kosisten dalam kes Bernard Dompok yang bukan sahaja mengambil sikap berbeza dengan sengaja tetapi mengulang pendirian itu dengan tegas dan degil. Dompok dibiarkan oleh Abdullah begitu sahaja.

Berbalik kepada kekecohan di Selangor itu tindakan yang diambil oleh Khalid sebagai Menteri Besar adalah tepat dan wajar. Ia selaras dengan kehendak perlembagaan. Hassan boleh diberi amaran kerana ini bukan kali pertama beliau berbuat demikian. Tetapi ini sukar dilakukan kerana Hassan tidak datang dari parti yang sama. Dan inilah sebenarnya kesulitan melaksanakan doktrin tadi. Meskipun Hassan pernah melakukan hal yang sama sebelum ini – dalam soal pelantikan Pengurus Besar PKNS – nampaknya tidak mudah untuk beliau didisiplinkan.

Mungkin Pas perlu berbuat sesuatu. Selain Hassan anggota kerajaan yang lain yakni Iskandar Abdul Samad juga pernah melanggar doktrin yang sama sebelum ini. Secara kebetulan anggota EXCO dari Pas itu juga berlaga dengan Ronnie Liu. Ketika itu Iskandar berkata ia hendak menunjukkan bahawa dalam kerajaan sekarang ada ruang untuk berbeza pendapat. Itu salah kerana ia bertentangan dengan ketetapan perlembagaan.

Kalau Iskandar hendak berbeza pendapat beliau mesti meletakkan jawaatn sebagai EXCO dan bertindak di dalam kerangka penyokong kerajaan. Di situ beliau boleh berkokok dan menjerit sesuka hati tanpa batasan. Termasuk mengundi menentang kerajaan. Sebagai ahli EXCO beliau mesti mempertahankan segala keputusan dan dasar kerajaan. Beliau hanya boleh bertengkar dan berbeza pendapat di dalam mesyuarat EXCO. Di luar mesyuarat itu semua tidak dibenarkan.

Saya fikir isu yang melibatkan arak ini tidaklah susah sangat untuk ditangani kerana ada undang-undang yang berkaitan. Biarkan pegawai dan pihak berkuasa berkenaan melaksakannya mengikut proses biasa. Mungkin Hassan dan Pas Selangor hendak menunjukkan kepada pengundi melayu dan Islam bahawa mereka prihatin terhadap agama dan bangsa Melayu. Tetapi caranya salah dan tidak selari dengan kehendak perlembagaan. Dan rakyat boleh menghukum mereka sebagaimana yang disebut oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

* Profesor Dr Abdul Aziz Bari mengajar Undang-Undang di UIAM Gombak.

Sumber : http://ahmadfadhli.wordpress.com

Read more...

Wednesday, 17 June 2009

ANTARA DUA TOK GURU: PENJELASAN DAN PENJERNIHAN TERHADAP KONSEP KERAJAAN PERPADUAN

Wan Abdul Rahman Wan AB Latif
Wed | Jun 17, 09 | 9:41:17 am MYT

SEJAK Tuan Guru Presiden, Dato' Seri Abdul Hadi Awang memperkenalkan konsep kerajaan perpaduan, ia telah menimbulkan satu polemik seolah-olah terdapat perbezaan pemikiran yang serius antara Tuan Guru Presiden dan Tuan Guru Mursyidul Am, Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Walhal, secara realitinya perbezaan pemikiran dan sikap dua orang Tok Guru ini adalah mainan media milik Umno/BN.

Kedua-dua Tok Guru sedar akan sepak terajang politik bikinan Umno/BN kerana kedua-duanya pernah mentadbir negeri. Kedua-dua Tuan Guru sedar bagaimana Umno/BN telah menganaktirikan Kerajaan Kelantan dan Terengganu.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz sedar (di awal pemerintahannya) betapa peritnya apabila Umno menghentikan bantuan subsidi input pertanian (baja) kepada para penanam padi yang menyebabkan Kerajaan Kelantan terpaksa mengeluarkan baja sendiri yang melibatkan kos jutaan ringgit.

Tuan Guru Abdul Hadi juga merasakan keperitan apabila wang royalti petroleum ditarik balik oleh Umno dan digantikan dengan wang ehsan.

Umno meyindir begitu hebat sekali seolah-olah kerajaan negeri Trengganu pimpinan Tuan Guru Abdul Hadi adalah begitu miskin sekali sampai peringkat meminta sedekah kepada Kerajaan Pusat.

Tidak mungkin kedua-dua Tok Guru lupa akan pengalaman-pengalaman pahit ini. Ini sekadar satu contoh. Banyak lagi diskriminasi yang terpaksa dilalui oleh kedua-dua Tok Guru semasa memegang jawatan Menteri Besar.

Kedua-dua Tok Guru yang warak dan begitu hampir dengan Allah senantiasa memanjangkan tangan persahabatan kepada Umno atas nama perpaduan ummah. Mereka berdua peka terhadap seruan Allah untuk ummat Islam senantiasa berpegang kepada tali Allah (iaitu Agama Islam) dan jangan berpecah-belah.

Tangan persahabatan dihulur dengan satu syarat yang amat penting iaitu perbincangan mengenai penyatuan ummah Melayu mesti menjadikan al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan terpenting. Keenggangan Umno untuk menjadikan al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan asas dalam perbincangan mengenai perpaduan ummah yang menyebabkan persoalan berkaitan dengan perpaduan ummah adalah persoalan yang tiada penghujungnya.

Apabila Tuan Guru Presiden melontarkan idea kerajaan perpaduan, ia menunjukkan betapa besarnya jiwa Tuan Guru Presiden yang seolah-olah bersedia untuk memaafkan Umno di atas segala kejahatan yang dilakukan ke atas beliau.

Lontaran idea ini bukan sahaja kepada Umno tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia atas keyakinan beliau bahawa sudah tiba masanya untuk Islam (melalui PAS) memimpin perubahan dan salah satu perubahan yang dimaksudkan ialah kerajaan perpaduan. Hujah ini adalah selari dengan hujah Tuan Guru Mursyidul Am.

Tuan Guru Presiden adalah ikhlas dalam mengetengahkan idea kerajaan perpaduan. Sekiranya Umno ikhlas dalam hal ini, tindakan segera yang Umno perlu lakukan ialah jangan bertanding dalam pilihan raya kecil Manik Urai pada 14 Julai 2009 nanti.

Sekiranya Umno terus bertanding, maka Umno yang sebenarnya berpura-pura mengenai kerajaan perpaduan dan bukannya kedua-dua Tok Guru yang mereka ingin lagakan.

Takrifan dan latarbelakang sejarah

Kerajaan Perpaduan dapat didefinisikan sebagai "satu kerajaan campuran yang besar terdiri dari semua parti politik (atau semua parti politik yang penting) yang berada dalam satu Dewan Perundangan (legislature) dan biasanya dibentuk dalam masa perang atau lain-lain keadaan dharurat yang dihadapi oleh sesebuah negara."

Dari takrifan ini ia memperlihatkan bahawa kerajaan perpaduan bukanlah merupakan satu struktur politik yang kekal. Ia bersifat sementara, iaitu ia diwujudkan dalam keadaan-keadaan yang kritikal (seperti semasa perang dan krisis ekonomi yang meruncing) bagi menjamin kelangsungan negara itu sendiri.

Ini bermakna perbezaan pandangan antara parti yang memerintah dan pembangkang perlu dikesampingkan. Atas dasar inilah kerajaan perpaduan adalah sebuah kerajaan yang tidak mempunyai pembangkang.

Ia boleh menjadi satu struktur politik dan pentadbiran yang kekal sekiranya Islam dijadikan bahan rujukan dalam segala aspek pentadbiran negara, atas kesedaran bahawa Islam adalah satu sistem yang syumul dan paling sempurna yang diturunkan oleh Allah untuk manusia.

Dari segi sejarahnya, penubuhan kerajaan perpaduan bukanlah sesuatu yang baru. Ia pernah ditubuhkan di negara-negara seperti Kanada, Israel, Kenya, Lebanon, Luxembourg, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Sebagai contoh, di UK kerajaan perpaduan telah ditubuhkan semasa Perang Dunia Pertama dan Kedua. Semasa Perang Dunia Pertama, kerajaan perpaduan di bawah pimpinan David Lloyd George mampu bertahan sehingga 1922.

Begitu juga semasa Zaman Kemelesetan (Great Depression) ekonomi yang menimpa dunia, sebuah kerajaan perpaduan telah ditubuhkan di UK pada tahun 1931 antara Ramsay MacDonald, Perdana Menteri dari Parti Buruh dan Parti Konservatif dan Liberal. Kerajaan ini bertahan sehingga 1945.

Terdapat juga contoh-contoh terkini penubuhan kerajaan perpaduan. Sebagai contoh, Afrika Selatan. Antara 27 April 1994 dan 3 Febuari 1997, Kerajaan Afrika Selatan telah ditadbirkan oleh sebuah perlembagaan sementara.

Fasal 88 perlembagaan sementara ini mensyaratkan mana-mana parti politik yang mempunyai 20 atau lebih kerusi dalam Dewan Perhimpunan Nasional (National Assembly) boleh menuntut satu atau lebih portfolio kabinet dan boleh bergabung dalam kerajaan yang memerintah.

Kerajaan yang ditubuh ini dikenali sebagai Kerajaan Perpaduan Nasional atau Government of National Unity (GNU). Di bawah pimpinan Presiden Nelson Mandela, GNU berkembang dan berfungsi dengan baik.

Pada pilihan raya 27 April 1994, Parti Kongres Kebangsaan Afrika (African National Congress) pimpinan Mandela telah memenangi majoriti kerusi di Dewan Perhimpunan Nasional dan boleh menubuh kerajaan tanpa bantuan parti-parti lain.

Walau bagaimanapun, dua parti lain, Parti Nasional dan Parti Kebebasan Inkatha telah menerima pakai peruntukan GNU dan memperolehi beberapa portfolio kabinet.

Presiden Mandela turut mengundang parti-parti lain menyertai kabinet sungguhpun parti-parti ini tidak memperolehi 20 kerusi minima sebagaimana yang diperlukan untuk membolehkan mereka menyertai GNU. GNU bertahan sehingga 1999.

Contoh kedua ialah Israel. Israel merupakan negara moden yang paling banyak menggunakan pendekatan "kerajaan perpaduan" sebagai kaedah menyelesaikan masalah dalaman mereka.

Secara lebih spesifik, menyelesaikan pertembungan antara Parti Buruh dengan Parti Likud. Kerajaan perpaduan yang dibentuk ialah kerajaan campuran antara dua parti yang dominan ini. Terkini usaha-usaha sedang dijalankan bagi menyatukan Parti Likud dengan parti Kadima.

Berbeza dengan Afrika Selatan di bawah Mandela, kerajaan perpaduan Israel tidak menjemput parti-parti politik lain yang lebih kecil menyertai kerajaan yang dibentuk. Kerajaan perpaduan yang dibentuk di Israel mempunyai motif politik yang tersendiri iaitu hanya memikirkan survival bangsa Yahudi sahaja.

Halangan ke arah pencapaian

Bukanlah sesuatu yang senang untuk mewujudkan satu kerajaan perpaduan terutamanya dalam sebuah negara seperti Malaysia di mana nilai-nilai politiknya adalah sarat dengan nilai-nilai perkauman.

Memahami betapa terdapatnya halangan-halangan yang serius bagi penubuhan sebuah kerajaan perpaduan di Malaysia, maka Tuan Guru Presiden menegaskan bahawa idea kerajaan perpaduan hanya merupakan satu lontaran idea. Tidak lebih dari ini.

Sekiranya ada pihak-pihak yang berminat, maka penerokaan yang lebih mendalam terhadap idea ini bolehlah diteruskan. Antara perkara yang perlu dibincang ialah bagaimana untuk mengatasi halangan-halangan yang sedia ada bagi membolehkan idea kerajaan perpaduan dipraktikkan.

Di Malaysia, antara halangan yang wujud ialah pertama, peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan dan dasar-dasar kerajaan sedia ada yang dilihat oleh sesetengah pihak (termasuk parti politik) sebagai menghalang perpaduan. Peruntukan-peruntukan yang dimaksudkan ialah: Islam sebagai agama Persekutuan; hak istimewa orang Melayu; Perkhidmatan Awam (termasuk polis dan tentera); DEB, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan lain-lain. Apakah perkara-perkara ini perlu dipinda? Atau di mansuh?

Halangan kedua ialah sistem pilihan raya yang berteraskan first-past-the-post. Dapatlah dihujahkan di sini bahawa sistem pilihan raya yang berteraskan prinsip 'perwakilan berkadar' (proportional representation) adalah lebih selari dengan konsep kerajaan perpaduan.

Halangan ketiga ialah sistem Federalisme ikutan Malaysia di mana terlalu banyak kuasa tertumpu kepada Kerajaan Pusat. Apakah ini sesuai dengan perjalanan 'kerajaan perpaduan'?

Halangan ke empat ialah peranan Ketua Whip di Parlimen; ia perlu dipinda. Begitu juga dengan peranan BBC. Ini adalah kerana kewujudan institusi ini menyebabkan ahli-ahli parlimen terpaksa akur kepada keputusan partinya sungguhpun ada ahli-ahli parlimen dari parti ini tidak bersetuju dengan keputusan atau dasar yang dibuat oleh parti mereka sendiri.

Kerajaan Perpaduan: Peranan PAS

Atas sifat Islam amat mementingkan perpaduan, maka secara jangka panjangnya, PAS boleh mempelopori idea kerajaan perpaduan atas usaha dan gagasan berikut: Pertama, bergerak cergas bagi merealisasi prinsip loyal opposition.

Kedua, mengemukakan contoh-contoh dari sejarah Islam bagi membenarkan hujah bahawa merealisasi prinsip keadilan yang melangkaui pertimbangan perkauman adalah kaedah terbaik mewujudkan perpaduan nasional.

Ketiga, kerajaan perpaduan perlu berpegang kepada prinsip 'pengislahan sistem politik dan ekonomi secara progresif'.

Ke empat, pendekatan Fiqh Keutamaan (Qaradawy) sebagai rujukan asas.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada pengalaman negara-negara yang pernah bereksperimen dengan 'kerajaan perpaduan' memperlihatkan kepada kita bahawa kerajaan ini bersifat jangka pendek dan hanya bertahan semasa negara sedang mengalami suasana yang mencabar. Selepas keadaan kembali normal, ia tidak lagi relevan.

Sekiranya PAS masih berminat dengan idea kerajaan perpaduan, maka GNU pimpinan Nelson Mandela adalah model terbaik yang boleh dijadikan sebagai model dan perlu dikaji secara mendalam kesesuaiannya dalam konteks Malaysia.

Model ini sudah semestinya diterapkan dengan nilai-nilai Islam. Jangan juga lupa bahawa Sahifah Madinah yang dihasilkan oleh Rasulullah (saw) sendiri merupakan model terbaik kerajaan perpaduan. - mks.

(Penulis adalah Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat (PPPP). _

Sumber : Harakahdaily.net

Read more...

Saturday, 6 December 2008

Assalamualaikum..

Salam Tadhiah dari tanah air..

Lama sungguh tidak mencatatkan apa-apa di blog ini setelah lebih kurang seminggu kembali ke tanah air. Walaupun demikian, pengaruh Mesir masih lagi tidak hilang. Buktinya, bila berbicara masih lagi terlepas kalam-kalam 'Arabi' dan macam-macam lagi 'fe'el' perangai semasa di Mesir dulu terlepas di Malaysia. 'Shock Culture' begitulah istilah yang sinonim dengan saya.

Namun, diri ini sentiasa cuba untuk keluar dari cengkamannya. Sentiasa saya memberi ingat kepada diri bahawa diri ini tidak lagi di bumi Anbiya' tapi di bumi Malaysia. Alhamdulillah, kini sudah beransur-ansur hilang. Fenomena begini sebenarnya biasa dialami oleh mereka yang baru sahaja pulang dari perantauan. Nak merasa? Pulanglah ke Malaysia.

Hari Raya Haji bakal menjelang. Kepada mereka yang menunaikan haji, diucapkan selamat menunaikan ibadah. Semoga Mabrur menjengah diri. Bagi yang tidak ke Makkah, marilah sama-sama kita mengambil pengajaran dari kisah pengorbanan Ismail. Bagaimana kisahnya seorang anak yang sanggup mengorbankan diri semata-mata kerana Allah. Pengorbanan harus bermula dari diri dan ianya menuntut kesabaran. Begitulah Allah membuat seleksi terhadap hamba-hamba-Nya. Ramai yang mengaku beriman, tetapi bila diuji dengan ujian terbukti mereka itu sebaliknya.

Bila sudah tamat pengajian, maka akan kedengaranlah "Minta kerja apa?" dan macam-macam lagi soalan cepu emas yang belum tentu mampu untuk dijawab. Alhamdulillah, baru-baru saya mendapat panggilan dari saudara, mengatakan ada kerja kosong. Jawatannya pembantu kepada Imam di Balai Musolla Istana Alam Shah, Klang. Doa-doakanlah agar rezeki dan nasib menyebelahi diri ini walaupun hanya sementara.

Idea dalam minda sudah habis diperah. Cukuplah rasanya setakat ini dahulu buat tatapan sahabat-sahabat yang menantikan pengkhabaran dari saya. InsyaAllah pengkhabaran yang lain bakal menyusul. Kepada teman-teman diucapkan "SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA", SELAMAT STUDY dan SELAMAT MENJAWAB SEMASA EXAM nanti. Semoga kejayaan menjadi milik kita. Kalau ada kelapangan masa, dering-deringkanlah telefon bimbit saya. Saya menentikan panggilan dari sana.

Wasalam.






Read more...

Sunday, 16 November 2008

Bagaimana Melayari Internet dengan Kebersamaan Allah



Oleh: Al-Ustaz Dr Fathi Yakan
Internet merupakan senjata bermata dua, satu pendekatan yang mempunyai dua wajah yang bertentangan; dalamnya ada unsur peruntuh dan membina, memati dan menghidup, petunjuk hidayah dan godaan. Dan cara bagaimana ia digunakan adalah garis pemisah antara keduannya. Saya harap tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa internet mempunyai daya tarikan, keberkesanan, mudah dicapai, dilayari dan bersifat intraktif yang menjadikan ia alat terkini dari segi kesan dan ruang cakupan. Ia melitupi bola bumi tanpa sekatan dan tandingan. Ia boleh dijadikan mimbar untuk orang Islam menegakkan hujjah keatas manusia dengan menyebarkan Islam dan menyampaikan dakwahnya kepada seluruh manusia diseluruh pelusuk alam.

Benarlah seperti firman Allah taala yang bermaksud:

Supaya tidak menjadi hujjah manusia terhadap Allah selepas kedatangan rasul-rasul.

(an -Nisa’ 165)

Dan firman maksudnya:

dan begitulah kami jadikan kamu umat pertengahan supaya kamu menjadi saksi kepada manusia dan rasul menjadi saksi keatas kamu.

(al Baqarah 143).

Walaubagaimana pun kita sepatutnya mengetahui bahawa internet dipenuhi dengan segala jenis unsur yang rosak dan merosakkan dan syaitan jin dan manusia memuatkan rangkaian ini dengan berjuta-juta laman yang canggih dan cekap dengan seni mempedaya dan menyesatkan satu perkara yang tidak diterima akal dan sukar digambarkan.

Satu kajian yang disiarkan oleh majalah Time menunjukkan bahawa bilangan laman seks mencecah angka 650 juta laman pada tahun 1998 dan dianggarkan akan sampai 8 bilion pada tahun 2002. Salah satu laman ini memiliki 300,000 gambar lucah dan telah dihantar sebanyak lebih satu bilion kali???.

Manakala dari sudut perniagaan, satu kajian menunjukan bahawa sejumlah pembelian bahan lucah melalui internet mencecah 18 bilion dolar. Ini mendorong pengkaji Steve Waters berkata dalam komentarnya terhadap betapa besarnya bencana ini: “biasanya pelayaran internet bermula dengan cuba-cuba, kemudian ia berlarutan menjadi penagihan dan disertai dengan kesudahan yang sangat merbahaya”.

Semua itu perlu diletakkan dalam perkiraan apabila berbicara tentang internet, melayarinya dan berintraksi dengannya.

1. Sesaorang yang ingin melayari internet wajar membersihkan niat dengan betul dengan menetapkan terlebih dahulu tujuan sebelum memasukinya.

2. Mereka yang melayari internet sebagai alat untuk berhibur akan lupa diri dan tanpa disedari terheret ke pada kamatianya dalam keadaan ia tidak menyedarinya.

3. Kemudian duduk dihadapan internet dalam tempoh yang lama akan mensia-siakan pusingan hidup seluruhnya. Mereka akan mengabaikan tugas dan tuntutan untuk mendapat kebahagiaan didunia dan akhirat. Inilah kerugian yang nyata. Disamping ia juga akan menyebabkan kehilangan daya tumpuan dan menyebabkan akal bercelaru.

Adapun apabila kita melayari gelombang internet yang ganas dalam laut yang gelap dan dalam keadaan ditemani Allah bererti kita hidup dengan kebersamaan ini dalam setiap suasana, urusan, kondisi dan setiap masa.

Rasa kebersamaan ini bukan suatu yang boleh dipinjam-pinjam atau direka-reka… kerana itu, ia bukan datang dan pergi sebaliknya satu keadaan yang tetap terus berkembang tanpa kurang atau surut.

Merialisasikan kebersamaan ini sesaorang perlu mengekang nafsunya daripada hawa dan penyesatannya. Hawa harus ditolak dan nafsu sepatutnya dibimbing untuk menaiki tangga kesempurnaan, meninggalkan kealpaan, mengalahkan waswas dan mengatasi ajakan-ajakan syahwat. Kemudian dengan memelihara keberterusan “muraqabah” dan “muhasabah” serta mengekang nafsu dengan keazaman dan dipaksa dengan pekerti dan akhlak yang mulia, apa lagi dizaman yang penuh dengan fitnah dan keajaiban ini.

Seperti yang pernah diberi amaran dan ingatan oleh Rasulullah s.a.w secara khusus mengenai zaman tersebut dimana orang yang siuman menjadi bingun, perkara makruf menjadi mungkar dan mungkar menjadi makruf sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: apabila dunia hampir kiamat akan berlaku fitnah seperti potongan malam yang gelap, fitnah seperti kepulan asap, dalam situasi itu hati manusia akan mati seperti matinya tubuh badan mereka, mereka beriman pada pagi hari dan kufur pada waktu petang, beriman pada waktu petang dan kufur pada waktu pagi antara mereka ada puak yang menjual akhlak dan agama mereka dengan habuan dunia.(hadis riwayat Ahmad)

Kita berdoa kepada Allah supaya memberikan kita kesihatan dan berterusan dalam keadaan afiat serta bersyukur dengan afiat tersebut. Kita mohon dari Allah kebaikan masa dan kebaikan mereka yang hidup pada zaman ini. Kita berlindung kepada Allah dari kejahatan zaman dan kejahatan mereka yang hidup pada zaman ini. Allah maafkanlah kami, ampunkanlah kami, perelokkan kesudahan kami dan pastikan pada waktu kematian kami, kami sedang melakukan kebaikan dan amal soleh. Amin ya rabba al alamin.

sumber : http://www.dakwah.info

Read more...

Sunday, 2 November 2008

Dilema

“Balik Malaysia nanti nak buat apa?” Seringkali soalan ini ditanya kepada saya. “Mengajar kot...” satu jawapan yang kurang pasti meluncur keluar dari mulut, walaupun hati ini menidakkan jawapan tersebut. Jawapan yang sebenarnya ialah “saya tak tahu nak buat apa bila pulang nanti..”, hanya terhenti di lubuk hati. Bila berhadapan dengan keadaan sebegini, mula kotak fikir ligat menganalisa diri. Rupa-rupanya diri ini masih tidak bermatlamat lagi, masih terbang di awangan mencari platform untuk mendarat.

Saya pohon pada ALLAH agar diri ini diberikan petunjuk. Semoga lampu diri yang semakin malap ini kembali marak dan terang agar diri ini dapat tahu arah tuju matlamat hidupnya. Semoga Qasidah Salamun salam jadi pengubat hati yang lara ini.

Read more...